Sunday, November 1, 2009

Dublin I (Hari Pertama)

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah; pemilik sekalian ‘alam. Sesungguhnya limpah rezeki dan kurnia-Nya sungguh melimpah ruah kepada hamba-hambanya. Harapnya rezeki yang melimpah ruah itu akan membuat diriku ingat kepada-Nya, bukan lupa dan lalai akan tanggungjawab yang diamanahkan terhadap setiap nyawa insan yang bergelar Muslim, insyaAllah.

Hari ini, 28 September 2009; aku cukup gembira kerana buat pertama kalinya aku menjejakkan kaki ke dunia luar; selain Malaysia. Dublin, akhirnya aku sampai jua. Terima kasih aku ucapkan kepada ibu dan bapaku, Encik Zaroni bin Kasim dan Puan Jamilah binti Mahamud yang setiap detik dan waktu memberikan segala yang termampu; untuk melihat anak sulung mereka ini berjaya di dalam lapangan cita-citanya. Tidak lupa jua kepada nendaku, Mahmud Abdul Karim, Hasmah binti Bon dan Jaronah Haji Kasan, yang banyak memberi peringatan kepadaku; supaya aku tidak lalai dan leka dihanyut arus kedewasaan dan persekitaran yang riaknya menggila. Segila lautan yang dihambat badai memecah kesunyian a lam buana. Jasa kalian sememangnya besar; tak terbalas anakanda hendaknya. Semoga Allah menempatkan ayahanda dan ibunda di maqam yang tinggi di sisi-Nya.

Terima kasih juga diucapkan kepada bapa-bapa dan ibu-ibu saudaraku yang memberi sokongan moral dan wang ringgit. Sesungguhnya sumbangan kalian tidak kira besar atau kecil, tidak akan aku lupakan. Semoga semangat kalian bersamaku untuk menempuh liku hidup yang nampaknya semakin berliku. Namun, insyaAllah akan ku persiapkan bersamaku bekalan yang cukup; biar diriku ampuh biar dipicing sekalian kejahatan dan kemudaratan.

Pun begitu, jauh disudut hati kecilku ini; aku sedih dan rindu mengenangkan keluarga yang kininya beribu-ribu batu jauhnya. Apakan daya, aku harus berkorban demi kebahagiaan di masa hadapan. Semoga Allah merahmati pemergianku dalam menuntut ilmu ini, insyaAllah. Bak kata abah, ‘Kejayaan memerlukan pengorbanan’. Kata-kata itu akan kusimpan sebagai azimat untuk lebih berjaya di masa hadapan.

Ya Allah, peliharalah diriku daripada ancaman nafsu dan ancaman jahat yang lain supaya diri ini lancar menempuh kesemua dugaan yang telah engkau janjikan untukku. Kau berikanlah kemudahan dalam semua perkara yang bakal aku lalui. Kau jadikanlah kejayaan yang bakal aku tempuhi mendekatkan diriku kepada-Mu. Kau berikanlah hidayah-Mu kepadaku. Amin ya rabbal ‘alamin.